Tak jadi damai

Rancangan mendamaikan Zainuddin MZ dengan penyanyi dangdut yang mendakwa menjadi mangsa rogol, Aida Saskia, terpaksa dibatalkan semalam, selepas pendakwah itu tidak muncul seperti dirancang.

Majlis itu dilangsungkan di Hotel Grand Cempaka di Jakarta Pusat. Peguam Aida, Alamsyah Hanafiah berkata, tokoh digelar Pendakwah Sejuta Umat itu tiba-tiba mengalami tekanan darah tinggi mendadak dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Gandaria, Jakarta Selatan.

“Majlis ini akan ditunda sehingga Zainuddin pulih,” katanya kepada media, semalam.

Sambil mendoakan tokoh itu segera sembuh, Alamsyah berkata, Aida setakat ini mengambil sikap berserah dan menunggu perkembangan lanjut isu berkenaan.

Menurut Aida pula, dia tentu rasa bersalah dan terlalu mementingkan diri sendiri jika terus mendesak Zainuddin ketika pendakwah itu sakit.

“Mungkin beliau belum bersedia dan kami pula tak boleh memaksa seseorang yang sakit untuk menghadiri majlis ini,” katanya.

Walau apa pun tanggapan orang, Aida mengambil sikap berbaik sangka dengan perkembangan mengejut itu.

“Mudah-mudahan sakit itu bukan sengaja dibuat-buat dan dia segera sembuh,” katanya.

Sementara itu, Aida berkata, dia memang bersungguh-sungguh mahu menyelesaikan isu peribadinya dengan Zainuddin secara baik melalui ‘ikrar damai’ yang sepatutnya diadakan semalam, “Saya mahu melupakan sejarah yang membayangi saya selama sembilan tahun,” katanya.

  1. No trackbacks yet.

Leave a comment