Perginya ‘Sang Hyuk’

MENYEBUT nama Sang Hyuk iaitu si ‘pengacau daun’ dalam drama bersiri popular

Winter Sonata yang mahu merampas cinta wanita bernama Yu-jin daripada cinta hatinya, Kang Joon Sang, pastinya ramai mengangguk, tanda mengenalinya.

Meskipun membawa watak sebagai ‘pengacau’ hubungan cinta hero bernama Joon Sang (Bae Yong Joon) dan heroin Yu-jin (Choi Ji Woo), Sang Hyuk tidak dibenci.

Sang Hyuk adalah pembawa watak antagonis yang juga digilai peminat melalui drama bersiri yang popular di seluruh dunia itu.

Justeru apabila menerima berita mengenai kematian Sang Hyuk pada Rabu lalu, peminatnya bagaikan terkesima seketika dan adegan itu bukan lagi di dalam drama

Sang Hyuk atau nama sebenarnya, Park Yong Ha, 32, ditemui mati di rumahnya di Nonhyundong, Seoul dengan cara menggantung diri menggunakan kabel telefon.

Menurut pihak polis, Park ditemui mati kira-kira pukul 5.30 pagi (waktu tempatan) oleh ibunya. Punca kematian masih belum dikenal pasti namun polis tidak menolak kemungkinan Park bertindak membunuh diri dan mayatnya dibawa ke Hospital St. Mary, Seoul.

Sebelum itu, terdapat laporan yang mengatakan Park dilihat berjalan menuju ke bilik selepas mengurut kaki bapanya dan kembali semula ke arah bapanya kira-kira pada pukul 12.40 pagi.

Dia juga dikatakan berulang kali meminta maaf kepada ahli keluarga dan bapanya yang sedang menderita kanser perut.

Kematian mengejut Park juga tidak surut dengan pelbagai spekulasi yang sengaja ditimbulkan. Ada yang mengatakan Park membunuh diri kerana tertekan dengan masalah syarikat pengurusan yang baru ditubuhkan.

Tidak kurang juga terdapat andaian yang mengaitkan kematian Park dengan penyakit insomnia yang dideritainya sejak 14 tahun lalu.

Bagaimanapun, sejurus selepas berita mengenai kematian bintang yang mencetuskan gelombang Hallyu ini diketahui umum, ramai teman-teman selebriti melahirkan rasa sedih dan meratapi pemergiannya itu.

Ada di antara mereka yang sempat meluangkan masa melawat rumah mayat di mana Park bersemadi.

Biarlah dia bebas di alam sana

Jelas sekali kehilangan aktor berbakat besar itu terlalu sukar untuk diterima sebahagian rakan artis dengan mudah.

Antara rakan selebriti yang merasai kehilangan Park ialah Jaejoong dari kumpulan TVXQ.

Malah, dia merupakan antara orang pertama yang menerima berita kematian Park memandangkan mereka berdua telah bersahabat baik sejak sekian lama.

Selain berkongsi populariti di serata dunia terutama di Jepun, Jaejoong dan mendiang Yong Ha sering berkongsi pandangan mengenai aktiviti seni di peringkat antarabangsa.

“Saya dan Park sempat berbual di telefon sehari sebelum kejadian. Bagai tidak percaya apabila keesokannya saya menerima perkhabaran mengenai kematiannya.

“Semasa dihubungi, dia langsung tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik. Suaranya juga elok seperti biasa.

“Malah, kami juga berjanji untuk keluar minum bersama sekembalinya saya ke Korea selepas menjalani proses rakaman album. Ia sesuatu yang sangat mengejutkan,” katanya.

Topik mengenai kematian dan curahan rasa sedih turut dilayarkan di laman sosial Twitter sebagai medium untuk meratapi pemergian Park oleh teman-teman selebriti.

Antaranya, MC Mong dan anggota kumpulan 2AM, Jo Kwon. Bukan itu sahaja, Jo Kwon juga turut berkongsi cerita mengenai pertemuannya bersama Park semasa 2AM berkolaborasi dengan penyanyi itu menerusi rakaman lagu Like a Stupid untuk drama Personal Taste.

Kehilangan Park juga dirasai anggota kumpulan KARA, Park Gyuri yang turut mencatat komennya di Twitter.

“Dia merupakan antara aktor kegemaran saya. Saya bertanya kepada diri sendiri, jika teman-teman rapatnya pun tidak tahu mengenai punca kematiannya, bagaimana pula dengan Yong Ha yang telah menyembunyikan kesakitannya sejak sekian lama?

“Apa yang kita lihat bukanlah kebenaran. Saya harap semua orang termasuk saya sendiri wajar bersyukur dengan apa yang kita miliki selain mengisi hidup kita dengan kegembiraan.

“Saya harap dia bebas sekarang.Bebas daripada bebanan yang dipikulnya,”kata Gyuri.

Selain itu, seorang lagi sahabat baik mendiang ialah aktor So Ji Sub. Dia merupakan orang yang pertama tiba di rumah mayat bagi memberi penghormatan terakhir kepada Park. Riak wajahnya terserlah kesedihan yang menyelubungi.

Malah, ketika ditanya pemberita mengenai kematian Park, Ji Sub hanya sempat memberikan reaksi ringkas dengan berkata; “Bagaimana perkara ini boleh terjadi?”

Pun begitu, selebriti yang paling tidak boleh menerima kenyataan tentunya bekas teman wanita aktor tersebut, aktres dan penyanyi popular Eugene.

Menurut kenalan Eugene, aktres tersebut sangat tersentak dengan berita kematian bekas kekasihnya itu sehinggakan tidak berhenti mengalirkan air mata, selain mahu bersendirian.

Selebriti-selebriti lain yang turut memberi penghormatan terakhir kepada Park termasuk Park Hee Soon, Kim Hyung Joon (SS501), Ki Bum (U-Kiss), Park Hyo Shin, Kim Hyun Joo, Kim Min Jung, Yunho, PSY, Ryu Si Won, CNBLUE, Eru, Song Seung Hun dan ramai lagi.

Park mengikut jejak langkah aktor Korea, Choi Jiin Young yang membunuh diri pada Mac lalu selepas dua tahun kakaknya, Choi Jin Sil melakukan tindakan yang sama.

Sebelum itu, aktres Lee Eun Ju turut mengambil jalan singkat dengan membunuh diri pada tahun 2005, diikuti dengan Jeong Da Bin, Ahn Jae Hwan dan aktres Boys Over Flower, Jang Ja Yeon.

Selain di Korea, kematian Park juga turut dirasai jutaan peminatnya di Jepun yang hadir memberikan penghormatan terakhir dan berkabung di hadapan syarikat rakaman Tower Records di Shinjuku,Tokyo dan beberapa daerah lain di negara matahari terbit itu.

Mayat Park telah dikebumikan pada Jumaat lalu.

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: